Assalamualaikum, sekadar mahu menulis tentang perjalanan pahit dan manis yang dialami dalam kehidupan.
Tahun 2008, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia maka bermulalah kehidupan baru bagi setiap orang khususnya di negara yang amat disayangi ini dan seterusnya bermulalah cabaran baru di dalam hidup semua orang-orang muda. Pelbagai cita-cita singgah di dalam pemikiran, ada yang nak sambung belajar, ada pula yang nak terus bekerja atas sebab peribadi yang pelbagai contohnya tidak mahu menyambung pelajaran atas faktor tidak berminat dan mungkin tidak mampu.
Bagi diri aku yang telah kehilangan ayah sejak berumur 15 tahun dan hanya bergantung kepada pencen arwah ayah dan upah yang emak dapat hasil daripada upah menjahit sudah pasti aku tidak berfikir untuk menyambung pelajaran(markah SPM pon tak bagus). Jadi aku terus melangkah ke alam pekerjaan yang pertama aku ceburi iaitu sektor perkilangan. Hari pertama bekerja di kilang jus tersebut telah mengajar aku erti sebuah pekerjaan yang sebenar dan bagaimana susahnya aku bekerja hanya untuk mendapatkan RM15 untuk sehari kerja yang aku lakukan. Dengan RM15 itulah aku makan dan membeli rokok (rokok batang) untuk meneruskan kehidupan. Pelbagai pengalaman telah aku perolehi dan aku mendapat partner kerja yang macam-macam perangainya. Ada yang betul-betul bekerja untuk mencari nafkah, ada yang bermain wayang bila bos masuk ke bilik proses, ada yang jadikan kotak jus sebagai lapik tidur bila rehat dan ada yang kaki pow rokok. Alhamdulillah, kebanyakan kawan-kawan di kilang tersebut termasuk bos-bos masih berkawan dengan aku sampai ke hari ni. Mungkin aku ni jenis cepat mesra.
Permulaan sebenar dalam hidup adalah ketika pertengahan tahun 2010 apabila seorang kawan bernama Hasri telah mengajak aku ke IPD JITRA untuk memohon kemasukan ke dalam PDRM. Sampai ja di IPD aku telah dihalau balik oleh seorang anggota polis berbangsa INDIA di Cawangan Kem Komandan (post guard) kerana aku memakai selipar. Jadi aku pon balik semula ke rumah untuk memakai kasut(kasut futsal) untuk ke IPD untuk mengisi borang permohonan kemasukan ke dalam PDRM. Alhamdulillah, dalam beberapa bulan aku telah mendapat surat tawaran untuk datang ke Pulapol KUALA LUMPUR untuk menyertai latihan kopolisan. Hari pertama menjejakkan kaki ke Pulapol, aku terlalu menyesal dengan keputusan aku untuk menyertai PDRM. Namun Amir Ukays pernah berkata “Pahit akan manis akhirnya” dan setelah menjalani latihan (berat badan turun 20kg) aku telah dapat bekerja sebagai anggota polis berpangkat konstabel di Negeri yang tak pernah aku sangka iaitu Negeri Perlis. Pengalaman sepanjang bertugas akan aku kongsikan kemudian. Dalam cuaca hujan dan berada di dalam kedai makan amat membosankan, jadi aku menulis coretan ini. Sekian..Assalam.